This post is also available in:
English
简体中文 (Chinese (Simplified))
Memahami Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Akta SPRM dilaksanakan dengan tujuan utama seperti berikut:
1) mempromosi integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran sektor awam dan swasta melalui penubuhan badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab (independent and accountable); dan
2) memberi pendidikan kepada pihak berkuasa awam, anggota perkhidmatan dalam masyarakat awam tentang amalan rasuah dan kesan-kesan buruknya ke atas pentadbiran sektor awam dan swasta dan juga ke atas masyarakat.
Di masa lalu, Akta SPRM 2009 mentakrifkan bahawa hanya individu-individu sahaja bertanggungjawab bagi melakukan kesalahan rasuah. Pengenalan Peruntukan Liabiliti Korporat di bawah Akta SPRM 2018 (Pindaan) (Akta A1567), memberi penjelasan kepada kenyataan tersebut di mana syarikat juga bertanggungjawab bagi amalan rasuah yang dilakukan “pihak-pihak bersekutu dengannnya” (termasuk pekerja) melainkan syarikat boleh membuktikan bahawa ia mempunyai prosedur sewajarnya bagi mencegah rasuah.
Seksyen 17A Bagi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Berkuatkuasa 1 Jun 2020
Seksyen 17A mengenakan hukuman ke atas organisasi komersial di mana perseorangan yang bersekutu atau berkaitan telah melakukan amalan rasuah dengan memberi sebarang habuan dengan niat mendapatkan atau mengekalkan perniagaan; atau penambahan dalam melakukan perniagaan tersebut, untuk organisasi komersial tersebut.
Definis Meluas Organisasi Komersial
Peruntukan baharu memberikan senarai meluas bagi “organisasi komersial” yang merangkumi:
(a) syarikat yang diperbadankan di Malaysia, perniagaan yang dilakukan dalam Malaysia atau di luar negara;
(b) syarikat yang melakukan perniagaan di Malaysia atau sebahagian perniagaan di dalam Malaysia, sama ada diperbadankan di Malaysia atau di tempat lain;
(c) perkongsian atau perkongsian keberhutangan yang menjalankan perniagaan di Malaysia atau mana-mana bahagian di Malaysia.
Perseorangan Bersekutu Dengan Organisasi Komersial
Seseorang dianggap berkaitan dengan organisasi komersial sekiranya dia adalah:
(a) pengarah;
(b) rakan kongsi;
(c) pekerja; atau
(d) salah seorang yang memberi perkhidmatan untuk atau bagi pihak organisasi komersial tersebut.
Perseorangan yang memberi perkhidmatan untuk atau bagi pihak organisasi komersial tersebut ditentukan berdasarkan segala keadaan yang relevan, tidak hanya melalui rujukan kepada sifat hubungan. Kategori (d) berkemungkinan juga merangkumi agen yang digunakan oleh organisasi komersial yang bukan pekerja secara langsung.
Peruntukan baharu ini meletakkan para Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengawal, Pegawai dan Pengurus bertanggungjawab secara peribadi (personally liable and responsible); sekiranya pekerja melakukan amalan rasuah dengan niat mendapatkan atau mengekalkan kelebihan perniagaan (business advantage) bagi organisasi dengan atau tanpa pengetahuan pengurusan. Ia tidak mengambil kira sama ada tujuan amalan rasuah tersebut tidak dipenuhi.
Prosedur Sewajarnya
SPRM telah mengeluarkan “Garis Panduan tentang Amalan Sewajarnya” (“Garis Panduan”), yang pada dasarnya mencerminkan panduan yang dikeluarkan Kementerian Kehakiman UK untuk Akta Rasuah UK 2010, bagi membantu organisasi komersial dengan menerapkan prosedur yang diperlukan dalam usaha mencegah berlakunya amalan rasuah.
Garis Panduan tersebut telah menetapkan prinsip melalui singkatan “T.R.U.S.T.” Untuk setiap prinsip, Garis Panduan ini menyediakan senarai ‘apa yang harus dilakukan’ (to-do list) di mana organisasi komersial disarankan mematuhinya yang mana kami telah rangkumkan garis panduan tersebut seperti di bawah:
- Komitmen Peringkat Atas (Top Level Commitment) – Garis Panduan ini menerangkan keperluan bagi pengurusan peringkat atas mencari dan memastikan kepatuhan penuh terhadap semua undang-undang dan peraturan yang terpakai berkaitan pencegahan rasuah, dan menetapkan ‘nada dari atas’ (tone from the top) menentang amalan-amalan rasuah. Antara contoh pelaksanaan praktikal prinsip ini adalah menerapkan dasar-dasar jelas dalam menangani risiko rasuah serta saluran laporan yang sesuai tentang sebarang insiden rasuah sama ada ia disyaki atau benar-benar terjadi.
- Penilaian Risiko (Risk Assessment) – Syarikat perlu melakukan penilaian risiko amalan rasuah secara berkala bagi mengenal pasti, menangani dan mengurangkan sebarang risiko yang berpotensi, terutama ketika mendepani pertumbuhan pesat bagi segala jenis perniagaan di zaman teknologi masa kini.
- Pelaksanaan Langkah Kawalan (Undertake Control Measures) – Syarikat perlu melaksana kawalan sewajarnya, kepatuhan wajar (due diligence) dan saluran laporan yang sesuai yang bertanggungjawab dan sepadan dengan saiz syarikat. Perkara ini tidak hanya mencakupi langkah yang dilakukan sebelum memeterai sesuatu hubungan tetapi juga melibatkan pemantauan berterusan perseorangan bersekutu dengan, secara umumnya, lebih maklumat yang diperlukan daripada entiti yang diperbadankan berbanding individu.
- Penilaian, Pemantauan dan Penguatkuasaan Sistematik (Systematic Review, Monitoring and Enforcement – Penilaian berterusan oleh pihak pengurusan atasan adalah mustahak bagi memantau kecekapan dan keberkesanan program pencegahan rasuah yang telah dilaksana, dan memastikan semua perubahan dalam SPRM diterapkan secara sepenuhnya.
- Latihan dan Komunikasi (Training and Communication) – Latihan sama ada dalaman atau luaran, adalah penting bagi memastikan dasar-dasar dan prosedur dapat dilaksanakan; dan dasar-dasar difahami dan digunapakai oleh pekerja dalam sesebuah syarikat. Komunikasi haruslah mencakupi kedua-dua aspek: (i) komunikasi dalaman yang menumpukan pelaksanaan dasar tertentu dan prosedur serta penyediaan alat (tool) bagi pekerja dan pihak ketiga dalam menyuarakan kebimbangan berkaitan amalan rasuah; dan (ii) komunikasi luaran seperti kod amalan kepada perseorangan bersekutu dan; sekira perlu dan sepadan, kepada masyarakat awam.
Pandangan Kami
Prinsip T.R.U.S.T semata-mata adalah tidak mencukupi. Ia hanya boleh dijadikan kerangka panduan tentang bagaimana syarikat dapat menerapkan prosedur yang sesuai bagi mencegah amalan rasuah. Oleh yang demikian, anda digalakkan menghadiri seminar yang relevan bagi memahami Akta SPRM dan mengetahui bagaimana merangka dan melaksana prosedur sewajarnya yang diperlukan berdasarkan keperluan syarikat anda.
Selain itu, ambil perhatian bahawa walaupun Seksyen 17A hanya menjatuhkan hukuman kepada pemberi rasuah dan bukannya penerima rasuah, Akta SPRM 2009 mengandungi peruntukan tambahan bagi menghukum mana-mana perseorangan yang menerima atau bersetuju menerima sebarang habuan sebagai rasuah.