This post is also available in: English 简体中文 (Chinese (Simplified))

Akta Syarikat dan Undang-Undang Syarikat di Malaysia – Peraturan Berkaitan Penubuhan Syarikat Yang Sah

Akta Syarikat dan Undang-Undang Syarikat di MalaysiaMenubuhkan sebuah syarikat baru di Malaysia bukanlah tugas yang mudah. Ia melibatkan pematuhan kepada pelbagai set undang-undang dan peraturan; semuanya diperkemas bagi memastikan penubuhan lancar untuk sebuah syarikat. Bagi mana-mana badan korporat yang inginkan pembentukan sebuah syarikat menjadi kenyataan, terdapat beberapa elemen asas yang perlu dipenuhi; dengan majoritinya termaktub di bawah Akta Syarikat 2016 (CA 2016). Ini termasuk isu isu berkaitan pengarah, jenis syarikat yang diperbadankan, penerbitan nama syarikat dan pendaftaran pejabat atau pusat perniagaan, saham, akaun sehingga kepada pencairan syarikat.  
 

Berkaitan Pengarah dan Setiausaha Syarikat

Sebuah syarikat persendirian memerlukan jumlah minimum seorang pengarah di mana syarikat umum perlukan sekurang-kurangnya dua pengarah yang bertindak selaku pemegang saham syarikat, terdiri individu berkecuali yang cukup umur, memiliki kediaman prinsipal atau satu-satunya di Malaysia dan tidak diisytihar bankrap. Jika seorang muflis yang belum didiscaj bertindak selaku pengarah, atau secara langsung atau tidak langsung mengambil bahagian atau terlibat dalam pengurusan sesebuah perbadanan kecuali dengan keizinan Mahkamah, dia dianggap melakukan kesalahan yang bercanggah dengan Akta ini; maka penalti bagi kesalahan ialah penjara sehingga lima tahun atau denda RM 100,000 atau kedua duanya. Seorang pengarah bertanggungjawab penuh di bawah Akta Syarikat 2016 (CA 2016) seperti mana undang-undang Komenwel, termasuk tugas statutori, tugas mengurus dan fidusiari seperti yang ditetapkan oleh Kod Etika. Selain itu, Perkara 9(b) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa ‘Sebuah syarikat perlu memiliki seorang atau lebih ahli’. Ambil perhatian bahawa peruntukan ini membolehkan penubuhan syarikat dengan hanya seorang ahli. Perkara 235(1) Akta Syarikat 2016 menjelaskan bahawa syarikat perlu memiliki sekurang kurangnya seorang setiausaha yang juga rakyat atau penduduk tetap Malaysia. Di samping itu, dia perlu sering tinggal di Malaysia atau memiliki kediaman prinsipal di Malaysia. Sebuah syarikat boleh memiliki lebih dari seorang setiausaha syarikat; dan semua mereka perlu memenuhi keperluan keperluan ini.

 

Permohonan dan Pendaftaran bagi Pemerbadanan

Di bawah Akta Syarikat 2016, proses pemerbadanan syarikat adalah amat mudah. Akta memperkenalkan satu borang super bagi tujuan pemerbadanan. Perkara 15 menjelaskan bahawa selepas pematuhan prosedur yang ditetapkan dan pembayaran yuran yang berpatutan, Pendaftar Syarikat (ROC) akan memberi nombor pendaftaran kepada syarikat dan mengeluar notis pendaftaran. Notis pendaftaran adalah bukti konklusif bahawa syarikat telah didaftar secara sah (perkara 19). ROC mungkin mengeluarkan sijil pemerbadanan hanya selepas permohonan oleh syarikat dan pembayaran bagi yuran yang ditetapkan telah dijelaskan. Kemudian, kontrak pra-pemerbadanan akan dibincangkan. Kontrak pra-pemerbadanan ditakrif dalam perkara 65(1) Akta Syarikat 2016 sebagai ‘kontrak atau transaksi yang telah dibuat oleh atau bagi pihak syarikat pada masa tertentu apabila syarikat masih belum diperbadankan’. Perkara 65(1) memperuntukkan bahawa perseorangan yang menandatangani kontrak pra-pemerbadanan adalah bertanggungjawab secara peribadi bagi kontrak atau transaksi sewajarnya. Tidak seperti sebelumnya di bawah Akta Syarikat 1965, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab. Namun demikian, kedudukan syarikat dalam hal berkaitan liabilitinya di bawah kontrak pra-pemerbadanan masih kekal. Perkara 65(2) membolehkan syarikat menuruti kontrak selepas ia diperbadankan. Jika syarikat tidak menuruti kontrak, ‘syarikat adalah terikat dengan kontrak atau transaksi seperti syarikat telah wujud pada tarikh kontrak atau transaksi dan telah menjadi pihak di dalam kontrak atau transaksi’.

Pejabat Berdaftar dan Ciri-Ciri Syarikat Persendirian

Sesebuah syarikat dari tarikh yang mana ia mula melakukan urus niaga atau bermula dari 14 haribulan selepas tarikh ia diperbadankan, yang mana lebih awal, perlu memiliki pejabat berdaftar di Malaysia di mana semua komunikasi dan notis dapat dialamatkan dan yang mana dibuka dan dapat diakses oleh orang awam tidak kurang dari tiga hari seminggu pada waktu perniagaan biasa pada setiap hari; kecuali pada hari Sabtu, hujung minggu dan cuti umum. Selaras dengan Perkara 30(1) Akta Syarikat 2016, setiap syarikat perlu mempamer dan terus memaparkan di luar setiap pejabat berdaftar atau tempat di mana ia melakukan perniagaan, di kedudukan yang mudah dilihat dalam huruf Roman yang mudah dibaca; namanya, dan juga dalam hal berkaitan pejabat berdaftar, perkataaan “Pejabat Yang Didaftarkan”. Jika gagal melakukannya maka syarikat adalah dilihat melakukan kesalahan bercanggah dengan Akta. Bagi membezakan syarikat tanpa had berbanding yang lain-lain, perkara 25(1) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan nama syarikat tanpa had perlu berakhir dengan perkataan ‘Sendirian’ atau singkatannya ‘Sdn.’. Syarikat juga dikategori sebagai sama ada persendirian atau syarikat awam. Di bawah Akta Syarikat 2016, syarikat persendirian adalah diperlukan memiliki ciri ciri berikut:

  • Ianya syarikat terhad kepada saham (Perkara 42(1))
  • Ia tidak memiliki lebih daripada 50 pemegang saham (s42(1))
  • Ianya menghadkan pindahan sahamnya (s42(2))
  • Ia tidak boleh menawarkan saham atau debentur kepada orang awam (s43(1)). Di bawah perkara(1) Akta Syarikat 1965, syarikat persendirian dilarang daripada mempelawa orang awam membeli saham atau debentur
  • Ia tidak boleh membenarkan saham atau debentur dilihat bagi tujuan menawarkannya kepada orang awam (s43(1)). Larangan ini tiada dalam Akta Syarikat 1965
  • Ia tidak boleh mempelawa orang awam mendeposit wang di dalam syarikat (s43(1)).

Selain dari ciri-ciri di atas, perkara 25(1) mewajibkan bahawa nama syarikat persendirian perlu berakhir dengan perkataan ‘Sendirian Berhad’ atau singkatannya ‘Sdn. Bhd.’. Bagi hal berkaitan syarikat awam, namanya perlu berakhir dengan perkataan ‘Berhad’ atau singkatannya ‘Bhd.’.

Memorandum dan Artikel Pertubuhan dan Perlembagaan Syarikat

Di bawah Akta Syarikat 1965, setiap syarikat diwajibkan memiliki memorandum dan artikel pertubuhan. Memorandum dan artikel pertubuhan kini secara kolektif dikenali sebagai perlembagaan, dan ia dijelaskan dalam perkara 31 dan 38 Akta Syarikat 2016 bahawa hanya syarikat yang dihadkan dengan jaminan boleh memiliki perlembagaan; syarikat syarikat jenis lain mungkin atau tidak mungkin memerlukan perlembagaan. Ianya opsyenal bagi mereka. Jika sebuah syarikat tiada perlembagaan, syarikat tersebut, setiap pengarah dan setiap ahli syarikat mempunyai hak, kuasa, peranan dan tanggungjawab seperti tertakluk dalam Akta. Selain itu, ‘sekiranya syarikat mempunyai perlembagaan syarikat, setiap pengarah dan setiap ahli syarikat memiliki hak, kuasa, peranan dan tanggungjawab seperti tertakluk dalam Akta, kecuali sehingga peringkat di mana hak, kuasa, peranan dan tanggungjawab dibenarkan diubah selari dengan Akta, dan diubah oleh perlembagaan syarikat’ (s31(2) Akta Syarikat 2016). Dalam kata lain, hak, kuasa, peranan dan tanggungjawab syarikat, pengarah dan ahli adalah dijelaskan oleh Akta Syarikat 2016 melainkan diubah oleh perlembagaan syarikat. Perlembagaan syarikat boleh mengubah sebarang hak, kuasa, peranan dan tanggungjawab tersebut hanya jika Akta membenarkannya.

Berkaitan tujuan syarikat, Perkara 21 Akta Syarikat 2016 menerangkan bahawa syarikat mempunyai kapasiti melakukan dan menjalankan sebarang perniagaan atau aktiviti. Begitupun, sekiranya syarikat mempunyai perlembagaan yang menjelaskan tujuan syarikat, perkara 35(1) memperuntukkan bahawa syarikat adalah dihadkan dari melakukan sebarang perniagaan dan aktiviti diluar tujuan tersebut. Akta Syarikat 2016 tidak membenarkan kesan dari transaksi di luar klausa tujuan syarikat. Maka kesan kesan urus niaga ultra vires adalah tidak diketahui. Berdasarkan peruntukan di dalam Akta Syarikat, khususnya Perkara 21 dan 39, adalah diandaikan bahawa urusan pihak ketiga dengan syarikat boleh memberi maksud syarikat memiliki kapasiti penuh melakukan atau menjalankan sebarang urusan dan aktiviti. Ini kerana, hanya perkara 39 membenarkan doktrin notis konstruktif terpakai hanya kepada dokumen berkaitan instrumen tanggungan. Tiada sesiapa yang boleh dianggap memiliki notis atau pengetahuan berkaitan kandungan perlembagaan atau sebarang dokumen (selain dari tanggungan) berkenaan syarikat yang telah didaftar oleh ROC atau yang bersedia untuk pemeriksaan di pejabat berdaftar syarikat. Maka, urusan pihak ketiga dengan syarikat boleh bergantung kepada perkara 21 dan 39 dan mengandaikan transaksi tersebut adalah di dalam kapasiti syarikat, untuk syarikat mempunyai kapasiti penuh bagi melakukan dan menjalankan sebarang perniagaan atau aktiviti.
 

Berkaitan Perlantikan / Perlantikan Semula Juruaudit

Akta Syarikat turut merangkumi reformasi kepada perlantikan juruaudit. Akta Syarikat 2016 menjelaskan bahawa perlantikan semula automatik juruaudit bagi syarikat persendirian, di mana bagi syarikat awam, perlantikan mereka adalah sehingga tamat Mesyuarat Agung Tahunan syarikat yang seterusnya. Tambahan lagi, di bawah perkara 255(3) Akta Syarikat 2016, ROC boleh mengecualikan sebilangan kelas syarikat daripada melantik juruaudit. Pada 4 Ogos 2017, ROC mengeluarkan Ketetapan Amalan 3/2007 mengecualikan tiga kategori syarikat persendirian, iaitu syarikat dorman, syarikat keuntungan sifar dan syarikat berkelayakan ambang. Topik berkaitan mesyuarat syarikat yang berada di bawah perubahan Akta Syarikat 2016 termasuk Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), notis mesyuarat, tempat dan proksi iaitu mereka yang menghadiri mesyuarat bagi pihak ahli syarikat. Mereka dikenali sebagai proksi ahli. Akta Syarikat 2016 telah mengalihkan halangan bagi mereka yang berkelayakan dilantik sebagai proksi dan hari ini, ahli boleh melantik sesiapa sahaja bagi menjadi proksi mereka.

Penstrukturan Semula Korporat – Penggulungan Syarikat

Dari sudut penstrukturan semula korporat, Akta Syarikat 2016 memperuntukkan mekanisme bagi skim statutori penstrukturan semula korporat yang melibatkan semua pemberi pinjaman. Bagaimanapun, syarikat berada dalam kedudukan sulit di antara pembentukan skim dan kelulusan mahkamah, di mana pemberi pinjaman yang tidak bersetuju dengan skim boleh mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula pinjaman yang diberi mereka. Maka syarikat atau mana-mana ahlinya atau pemberi pinjaman boleh memohon kepada mahkamah untuk perintah menghalang prosiding terhadap syarikat kecuali dengan kebenaran mahkamah. Seterusnya, Akta Syarikat 2016 turut mencakupi pencairan syarikat. Terdapat dua kaedah penggulungan syarikat: (1) penggulungan sukarela di mana ahli meluluskan resolusi penggulungan syarikat; dan (2) penggulungan wajib di mana mahkamah mengarahkan syarikat ditutup (s432(1)). Secara amnya, penggulungan sukarela sesebuah syarikat bermula apabila resolusi penggulungan sukarela yang dibuat ahli-ahlinya diluluskan. Begitupun, di mana terdapat lantikan liquidator sementara sebelum resolusi ahli-ahli diluluskan, maka penggulungan akan bermula apabila perisytiharan pengarah pengarah bagi insolvensi syarikat dihantar kepada ROC. Dalam penggulungan wajib, penggulungan bermula selepas kelulusan resolusi ahli sekiranya syarikat telah meluluskan resolusi secara penggulungan sukarela sebelum petisyen penggulungan dipersembahkan. Dalam kes lain, penggulungan bermula pada tarikh penggulungan. Salah satu syarat bagi penggulungan syarikat ialah ia tidak berupaya menjelaskan hutangnya. Perkara 466 Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa syarikat dianggap tidak mampu membayar hutang jika ia gagal membuat pembayaran melebihi jumlah yang ditentukan Menteri, dalam tempoh 21 hari selepas diberi notis berkaitan tuntutan di pejabat berdaftarnya.

Secara konklusif, dapat dilihat bahawa Akta Syarikat 2016 telah mengubah hampir kesemua aspek undang-undang syarikat di Malaysia. Ini hanya sebahagian dari pelbagai peraturan berkenaan penubuhan syarikat secara sah. Kepatuhan kepada undang-undang ini adalah mustahak agar pertubuhan-pertubuhan dapat mengalami penubuhan syarikat yang sah dan menurut undang-undang agar perniagaan mampu berjalan lancar. Kesan-kesan akibat kegagalan mematuhi peraturan memberi tamparan yang ketara di dalam usaha memastikan pemilik perniagaan berpotensi dapat bersaing secara saksama di dalam pasaran.