This post is also available in:
English
简体中文 (Chinese (Simplified))
Panduan Pendaftaran Pemilikan Tunggal Atau Perkongsian Di Malaysia Bagi Warganegara Malaysia Atau Penduduk Tetap (PR)
Pemilikan tunggal atau perkongsian adalah dua jenis pilihan entiti perniagaan yang tersedia bagi pemerbadanan syarikat di Malaysia. Pendaftaran syarikat pemilikan tunggal dan perkongsian di Malaysia merupakan pilihan yang tersedia bagi Warganegara Malaysia atau pemegang taraf Penduduk Tetap (PR) di Malaysia sahaja. Anda perlu berusia sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas untuk layak bagi pilihan ini. Panduan ini akan memberi informasi tentang Pendaftaran Pemilikan Tunggal di Malaysia atau Pendaftaran Perkongsian di Malaysia.
Untuk memulakan atau mendaftar sebuah pemilikan tunggal atau perkongsian di Malaysia, perniagaan anda perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ianya kini amat mudah bagi mendaftar perniagaan di Malaysia, dan urusan ini boleh dilaksana dengan mudah dalam tempoh sejam sama ada dengan berkunjung ke pejabat SSM berdekatan atau dengan mendaftar perniagaan anda secara dalam talian.
Entiti pemilikan tunggal adalah pada dasarnya dikendali seorang pemilik, sementara entiti perkongsian pada dasarnya melibatkan dua atau lebih individu di dalam sesuatu perjanjian. Kelebihan bagi perniagaan pemilikan tunggal atau perkongsian di Malaysia adalah di mana anda mudah mendaftar perniagaan anda dengan pantas dan kadarnya amat berpatutan bagi anda memulakan sebuah syarikat.
Bagaimana Mendaftar Pemilikan Tunggal Atau Perkongsian Di Malaysia
Untuk memulakan proses pendaftaran di Malaysia sama ada bagi pemilikan tunggal atau perkongsian, anda perlu menyedia dan membekalkan dokumentasi berikut:
- Satu salinan Kad Pengenalan (KP). Dalam kes perkongsian, anda mesti menyediakan satu salinan Kad Pengenalan rakan kongsi anda juga.
- Menyediakan yuran pendaftaran yang diperlukan di antara RM60-RM100 (tunai).
- Pemilikan Tunggal yang menggunakan nama persendirian yang tertera pada kad pengenalan anda memerlukan yuran pendaftaran sebanyak RM30
- Pemilikan tunggal yang menggunakan nama perdagangan memerlukan yuran pendaftaran RM60
- Pendaftaran cawangan dikenakan tambahan RM5 bagi setiap cawangan
- Cetakan maklumat perniagaan anda dikenakan RM10
- Dapatkan salinan bagi permit, kelulusan atau sebarang dokumentasi sokongan atau surat bagi jenis perniagaan yang anda hasratkan beroperasi sekiranya diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan.
Butiran bagi nama perniagaan dan aktiviti.
Mendaftar Perniagaan Anda Dengan Nama Persendirian Atau Nama Perdagangan
Pendaftaran bagi entiti perniagaan pemilikan tunggal atau perkongsian anda di Malaysia boleh dilakukan sama ada dengan mengguna nama perdagangan atau nama peribadi anda. Sekiranya anda meneruskan dengan opsyen nama perdagangan, anda perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Pendaftar Perniagaan sebelum anda dapat menggunakan nama tersebut.
Anda diperlukan untuk melengkap Borang Kelulusan Nama Perniagaan (Borang PNA.42) dan menghantar tiga nama cadangan perniagaan yang bakal diluluskan berdasar kepada keutamaan. Nama-nama ini perlu dilampir kepada Borang Pendaftaran Perniagaan Baharu (Borang A) dan dihantar ke kaunter.
Borang A Pendaftaran Perniagaan anda perlu dilengkapkan dengan maklumat dan butiran seperti di bawah:
- Nama perniagaan anda
- Jenis perniagaan
- Tarikh permulaan perniagaan anda
- Alamat utama perniagaan anda
- Alamat cawangan perniagaan anda (sekiranya ada)
- Maklumat tentang pemilik-pemilik dan rakan-rakan kongsi
Berkaitan dengan perkongsian, setiap rakan kongsi diperlukan menandatangani pada borang yang telah lengkap. Borang permohonan yang dilengkapkan bagi pendaftaran pemilikan tunggal atau perkongsian anda perlu dihantar kepada SSM sama ada melalui kaunter, atau di dalam talian melalui Khidmat e-Pelaporan SSM yang tersedia dalam laman sesawang SSM.
Sebaik sahaja diluluskan, Sijil Pendaftaran Perniagaan anda akan dapat diambil dalam tempoh sejam selepas pembayaran dilakukan. Adalah mustahak untuk mengetahui bahawa walaupun perniagaan anda telah didaftar secara sah dengan SSM, anda masih bertanggungjawab bagi mendapatkan permit-permit atau lesen-lesen perniagaan berkaitan yang mungkin diperlukan bergantung kepada jenis perniagaan anda.
Kekurangan Pada Pendaftaran Pemilikan Tunggal Dan Perkongsian
Walaupun terdapat beberapa kelebihan dan keuntungan yang hadir dengan pilihan kedua-dua entiti, terdapat juga kekurangan yang perlu diketahui oleh setiap usahawan. Antara kekurangan pada pendaftaran pemilikan tunggal dan perkongsian di Malaysia termasuklah:
- Anda secara peribadi bertanggungjawab ke atas kerugian yang ditanggung perniagaan.
- Pemilikan tunggal pada dasarnya akan menutup operasi sebaik sahaja pemilik meninggal dunia.
- Sebarang tindakan yang dilakukan rakan kongsi dalam pilihan entiti perkongsian akan dianggap menjadi tanggungjawab semua rakan-rakan kongsi yang lain.
Penalti Di Malaysia Kerana Tidak Mendaftar Perniagaan Pemilikan Tunggal Atau Perkongsian
Adalah menjadi kesalahan menjalankan perniagaan di Malaysia tanpa pendaftaran yang sah di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan ROBA1956. Sekiranya didapati bersalah, anda mungkin didenda dengan jumlah tidak melebihi RM50,000, atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tempoh 2 tahun atau kedua-duanya.