This post is also available in: English 简体中文 (Chinese (Simplified))

Budaya di Malaysia: Negara dengan Pelbagai Budaya

 

Berbilang Bangsa

Malaysia merupakan sebuah negara dengan masyarakat berbilang bangsa dengan majoriti masyarakat Melayu, Cina dan India. Terdapat pelbagai kaum etnik berbeza di Malaysia dengan identiti budaya mereka yang unik dan istimewa, dengan beberapa persamaan di antaranya. Negara ini terdiri daripada Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur dan telah mendapat kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Terdapat juga bangsa Eurasian yang merupakan kacukan keturunan Eropah dan penduduk Melayu yang tinggal di Malaysia. Komuniti kecil di Melaka pula merupakan keturunan penjajah Portugis yang mengahwini wanita-wanita tempatan. Mereka mengamalkan budaya tempatan, namun bertutur dalam bahasa ibunda dan beragama Kristian. Setiap kumpulan etnik memiliki ciri-ciri budaya sendiri yang berbeza berbanding yang lainnya, dan mereka mengecap tahap integrasi yang berbeza. Bangsa Cina telah mengintegrasikan budaya Melayu di beberapa lokasi, termasuklah di daerah-daerah di Terengganu, dan mereka turut membentuk kelompok seperti kaum Baba Nyonya di Melaka dan Cina-Kadazan di Sabah. Penjajahan oleh British telah menyemai satu identiti sepunya di antara kumpulan-kumpulan etnik dengan pemikiran dan ciri-ciri yang diadapatasi dari pihak Inggeris menyatukan mereka. Budaya Malaysia ini dilihat sebagai simbiosis budaya-budaya yang diamalkan penduduknya.

 

Cuti Umum dan Perayaan

Rakyat Malaysia menikmati pelbagai cuti umum dan perayaan sepanjang tahun, samada di peringkat kebangsaan dan negeri. Terdapat juga perayaan yang disambut segolongan etnik atau kumpulan agama tertentu, tetapi tidak ditetapkan sebagai cuti umum. Perayaan-perayaan utama bagi setiap agama utama merupakan cuti umum. Cuti umum yang disambut di seluruh negara tentunya “Hari Merdeka” yang jatuh pada 31 Ogos bagi menandakan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Hari Buruh, Hari Keputeraan DYMM Yang DiPertuan Agong, serta lain-lain perayaan merupakan cuti umum di peringkat kebangsaan. Hari Wilayah disambut di tiga Wilayah Persekutuan. Hari Malaysia yang disambut pada 16 September pula meraikan pembentukan Malaysia melalui penyatuan Malaya, Singapura, Sabah, dan Sarawak, walaupun ia diraikan terutamanya di Malaysia Timur. Tahun Baru, Tahun Baru Cina dan Maal Hijrah juga merupakan cuti umum. Perayaan penganut Islam juga paling kerap disambut di Malaysia, dengan yang utama merupakan Hari Raya Puasa yang juga disambut umat Islam di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya Ramadan, atau bulan puasa. Umat Islam di Malaysia turut meraikan Hari Raya Haji, Awal Muharram serta Maulidur Rasul. Bangsa Cina di Malaysia tentu sekali meraikan perayaan yang turut disambut masyarakat Cina di seluruh dunia. Tahun Baharu Cina disambut meriah dan berlarutan selama 15 hari. Masyarakat Hindu pula merayakan Deepavali, atau pesta cahaya manakala Thaipusam pula disambut penganut Hindu di seluruh negara dengan berkunjung ke Batu Caves. Wesak yang merupakan hari kelahiran Buddha juga merupakan hari cuti umum. Komuniti Kristian di Malaysia pula menyambut perayaan yang diraikan penganut agama Kristian di seluruh dunia, terutamanya Krismas dan Easter. Namun Good Friday hanya diisytiharkan cuti umum di Sabah and Sarawak. Hari Gawai di Sarawak serta Kaamatan di Sabah juga merupakan perayaan yang penting bagi penduduk di kedua-dua negeri Malaysia Timur ini.

 

Adat resam dan pengaruh

Kesenian dan muzik telah lama bertapak di Malaysia, dengan seni Melayu mula berkembang sejak zaman Kesultanan Melayu. Seni tradisional berpusat pada bidang seperti ukiran, barangan perak dan tenunan. Hasil seni yang menggambarkan manusia terbatas sehinggalah pada pertengahan kurun ke-20 akibat pengaruh Islam. Seni persembahan dan wayang kulit amat popular dan sering memaparkan pengaruh India. Pelbagai pengaruh dapat dilihat dalam seni bina, daripada budaya individu di Malaysia serta daripada negara-negara lain. Sajian makanan sering terbahagi mengikut garis etnik tetapi beberapa hidangan wujud dengan adunan dari pelbagai kumpulan etnik. Sukan popular di Malaysia termasuk badminton, boling, bolasepak, skuash, and hoki. Malaysia turut memiliki sukan tradisi. Antaranya ialah Wau yang merupakan permainan layang-layang dengan rekabentuk halus. Pantai di Malaysia pula popular dengan selam skuba, kapal layar dan lain-lain aktiviti sukan air. Aktiviti berakit di jeram dan trekking juga dilakukan. Dari aspek kebebasan bersuara, kebanyakan media Malaysia terikat dengan parti pemerintah Umno, dengan akhbar-akhbar utama di Malaysia dimiliki kerajaan dan parti-parti politik pemerintah. Selain akhbar Bahasa Melayu, terdapat juga akhbar Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil yang diedarkan secara meluas.